Wednesday, November 20, 2013

VIETNAM, INSYA-ALLAH KAMI AKAN DATANG LAGI NANTI...

Salam dan doa...

Dengan menyebut nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarga.


     Bak kata pepatah jauh perjalanan, luas pemandangan. Begitulah juga dengan pengembaraan yang memberikan kesan agak mendalam dalam kehidupan kami iaitu pengembaraan ke bumi Ho Chi Minh, Vietnam. Mengikut cerita rakyat tempatan, sejarah pernah membuktikan bahawa bumi tersebut yang pernah dikenali sebagai Saigon yang merupakan bekas bumi umat Islam dan  dahulunya dipelopori oleh golongan Melayu Champa. Namun, ekoran kesilapan seorang raja yang beragama Islam yang memerintah pada masa tersebut telah menyebabkan berlakunya pengambilalihan tampuk pemerintahan oleh raja yang beragama Buddha dengan cara memperalatkan wanita bagi memuaskan nafsu sang raja untuk tujuan meluaskan empayar mereka. Dengan kejatuhan pemerintahan raja Islam tersebut, hal ini cukup memberi kesan yang mendalam kepada rakyat jelata dan mengubah terus keseluruhan struktur masyarakat daripada mengamalkan adat dan budaya Melayu Islam kepada adat dan budaya Buddha oleh kerana raja mereka sudah tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas wilayah tersebut lagi.


Bersama-sama Wan Aisyah Humaira


     Pengembaraan selama lima hari bermula dari (Kota Bharu-Kuala Lumpur-Ho Chi Minh-Kuala Lumpur-Kota Bharu) dengan menaiki penerbangan MAS menyaksikan banyak pengalaman yang jarang-jarang terdapat di bumi Malaysia tercinta yang penuh dengan keindahan, keamanan, kesenangan dan rezeki yang melimpah-ruah. Di Bandaraya Ho Chi Minh memang terdapat banyak tempat-tempat menarik, bersejarah dan patut dilawati apabila pengunjung sampai di sana dan antaranya ialah sungai Mekong, terowong Chu Chi, pasar terapung, muzium perang dan lain-lain lagi.


     Tujuan utama kami apabila menempah tiket menerusi atas talian adalah untuk merasai suasana dan melihat perkembangan 'trend' semasa rakyat Malaysia yang semakin ramai ke negara pemerintah Komunis tersebut. kami boleh dikategorikan sebagai insan yang amat bernasib baik kerana kebetulan setelah sampai di sana, kami berjumpa dengan seorang warga Vietnam berketurunan Melayu Champa. Beliau merupakan bekas pelajar Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan. Nama beliau adalah Hapsa Roh yang tinggal di bandar tersebut dengan menjalankan perniagaan menjual kain sembahyang wanita bersulam dan lain-lain. Walaupun beliau boleh dikatakan agak lancar bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi, saya masih dapat mengesan sedikit slanga yang terdapat dalam pertuturannya itu. Namun kebolehan beliau berbahasa Melayu amat membantu saya dalam banyak urusan sepanjang di sana kerana beliau menjadi jurubahasa saya semasa saya  melakukan proses tawar-menawar dengan penjual, pemborong, pemandu teksi dan orang-orang di sana.

Koleksi gambar-gambar di sana.

Sekitar Pasar Ben Than (tempat tumpuan pelancong)

Sedang tekun membaiki penyapu untuk dijual

Antara kedai di muka pintu masuk pasar Cho Ben Thanh

Gigih berniaga seperti kebanyakan peniaga wanita di Kelantan yang tidak mengenal erti putus asa dan malu



Aktiviti melihat barangan lusuh

Operasi mencari plag yang sesuai kerana di sana plag tak sama (Universal)

Pinggir bandar raya

Bergambar berlatarkan salah satu mercu tanda bandar raya

Petugas Bandar raya tengah bermesyuarat
Iryani Syahiran Zainal Abidin dan Aisyah

Latar pasar tumpuan pelancong Cho Ben Thanh

Imej dekat

Pasar Malam sekitar Cho Ben Thanh

Kedai tudung dan cenderamata

Kedai beg

Air kelapa yang siap sedia untuk diminum

Betapa uniknya selipar di sana

Tali pinggang yang tersusun rapi

Wanita di sana gigih berusaha

Salah satu kedai makan halal di Daerah 3

Sedang menunggu makanan sampai

Menunggu makanan bersama-sama Aisyah dan sahabat di sana

Motosikal merupakan kenderaan pengangkutan utama di sana

Makanan untuk kesihatan

Aisyah Humaira mengalami demam 'Vietnam'

Kena cekap tengok meter bila naik teksi.

Pasar Borong

Tempat penjual-penjual di sana mengambil barang

Merujuk resit

Aisyah sedih dah nak balik

Hari-hari terakhir di bandaraya Ho Chi Minh

Iryani Syahiran bersama-sama kawannya di sana

Salah satu tempat tumpuan pelancong


    Buat pertama kali ke sana, dalam pemerhatian saya terdapat banyak gambar pemimpin agung mereka iaitu Ho Chi Minh yang mana saya dikhabarkan mayat beliau telah disimpan di satu tempat dengan mayat diawet dan kerajaan menjadikan makam tersebut salah sebuah tempat yang bersejarah. Sanjungan  keseluruhan rakyat Vietnam kepada bekas pemimpin agung mereka itu juga dapat dilihat dalam helaian wang kertas mereka dengan terdapat gambar muka Ho Chi Minh yang dijadikan sebagai lambang prestij.

     Semasa di sana dapat dilihat keadaan hiruk piruk di Bandaraya Ho Chi Minh dengan banyaknya jumlah motosikal yang menjadi kenderaan utama rakyat di sana. Saya difahamkan oleh penduduk di sana terdapat 5 juta jumlah motosikal di bandaraya Ho Chi Minh. Banyak juga faktor yang menyebabkan rakyat Vietnam memilih motosikal sebagai kenderaan utama untuk melaksanakan urusan harian mereka sama ada berniaga, bekerja dan sebagainya. Antaranya sebab-sebabnya ialah pihak bank komersil tidak menyediakan pinjaman untuk membeli kenderaan. Selain itu harga kenderaan dan petrol serta diesel yang agak mahal iaitu sekitar RM 3.00 seliter walaupun difahamkan Vietnam juga merupakan antara negara pengeluar minyak dunia. Rata-rata rakyat kebanyakannya hanya mampu menggunakan motosikal sebagai alternatif bagi melancarkan urusan seharian.


     Di Bandaraya Ho Chi Minh, adalah menjadi kebiasaan bila mana pejalan kaki ingin melintas jalan, kenderaan seperti motor dan kereta akan memperlahankan kenderaan masing-masing untuk mengelak dan memberikan peluang kepada pejalan kaki bagi melintas jalan dengan selamat. Agak janggal juga bila memikirkan hal tersebut bila dibandingkan dengan keadaan di Malaysia walaupun nampak sebegitu rupa, namun amat jarang sekali berlakunya kemalangan semasa kenderaan sedang bergerak. Pada hemah saya, mungkin faktor sifat 'cakna' menjadi teras penunggang dan pemandu di negara yang pernah diserang oleh Amerika suatu masa dahulu. Selain itu, pada waktu trafik sibuk saya ada terlihat kawalan lampu trafik dikawalselia oleh polis dan bukannya ditetapkan secara automatik seperti di Malaysia.

     Sepanjang saya berada di sana, saya dapat lihat kesungguhan rakyat di sana berniaga dan mereka tidak malu untuk mempromosikan barangan yang mereka jual kepada pelanggan sehinggakan kadang-kadang kita merasakan seolah-olah mereka memaksa kita untuk membelinya. Cara penjaja mereka membawa barang jualan dalah cukup unik dengan mereka membawa barang jualan dengan menyusun barangan di atas bakul ataupun kotak dan seterusnya diletakkan atau diikat pada badan mereka. Pada kebiasaannya, mereka akan menawarkan barang jualan mereka dengan harga yang agak tinggi terlebih dahulu. Jika kita tunjukkan yang kita tidak berminat dengan barang yang ditawarkan, mereka akan menurunkan sedikit harga tersebut, dan kadang-kadang sehingga separuh daripada harga asal. Tips mudah bagi yang ingin membeli di sana bolehlah menawarkan separuh harga daripada harga yang diletakkan. Majoriti peniagaan di sana dipelopori oleh kaum hawa sepertimana dapat kita lihat di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.

    Salah satu pengalaman yang amat melucukan juga bila saya masuk ke dalam Pasar Ben Thanh yang merupakan pasar tumpuan pengunjung dari Malaysia dan tempatan adalah mereka suka menyapa  kita dengan pangilan 'abang', dengan nada yang agak lembut sekali supaya kita singgah membeli di kedai mereka. Kadang-kadang ada juga antara mereka yang bertindak lebih berani dengan memegang atau menarik bahu pengunjung supaya kita berhenti dan seterunya membeli di kedai mereka. Hal yang sebegini mungkin boleh mendatangkan perasaan cemburu yang amat jika kita  berkunjung dengan isteri kita.

     Antara perkara yang mengujakan saya adalah semasa berkunjung pasar malam yang lokasinya terletak di luar Pasar Ben Tanh. Semasa saya sedang dalam proses tawar-menawar barang yang pada hemah saya harganya sedikit mahal. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun berketurunan Vietnam sambil membawa barang jualan. Beliau telah membantu menterjemahkan  bahasa Melayu ke bahasa Vietnam dan bahasa Vietnam ke bahasa Melayu dalam proses tawar menawar harga antara saya dan penjual yang berbasikal. Pertuturan kanak-kanak tersebut dalam bahasa Melayu amat fasih dan tidak terdapat sebarang slanga. Apabila ditanya akan perihal kebolehan beliau itu, beliau memberitahu bahawa beliau belajar bahasa Melayu melalui pelancong Malaysia yang datang ke sana dari kecil. Sungguh hebat kanak-kanak tersebut. Mungkin suatu hari nanti tidak mustahil beliau akan dilantik oleh kerajaan bagi urusan diplomatik atau jurubahasa oleh pihak agensi pelancongan.


     Apabila berada di sana saya tidak mengalami sangat masalah untuk makan kerana di kawasan hotel yang saya duduki iaitu Hotel Thanh Le memang terdapat banyak pilihan makanan halal akan  tetapi kos sara hidup di sana agak tinggi. Harga makanan yang saya makan seorang dalam lingkungan  RM12- RM15 bagi setiap kali makan. Itupun boleh dikira agak murah berbanding kedai-kedai lain yang agak eksklusif di sana. Antara  kedai makan yang selalu saya singgah sepanjang berada di sana adalah Restoran Hajah Basiroh dan Restoran Amin. Saiz kedai di sana agak kecil tetapi bertingkat-tingkat. Pada hari-hari terakhir saya di sana Kedai Hajah Basiroh saya terpaksa elakkan kerana saya telah melihat telur yang digunakan untuk dimasak atau digoreng tidak dibasuh terlebih dahulu semasa membasuh tangan di ruangan dapurnya.

     Tentang minuman yang terkenal di sana sudah pastinya  kopi Vietnam yang menjadi pesanan saya setiap kali singgah di restoran. Terdapat juga penjaja yang menjaja kopi di sepanjang jalan dengan menaiki basikal dengan kotak jualan kopi bertanda halal. Akan tetapi kita kena juga berwaspada kerana ada juga sumber daripada penduduk tempatan memberitahu bahawa kopi tersebut ada yang telah dicampurkan dengan arak bagi melazatkan lagi rasa.

     Di sana terdapat banyak buah-buahan yang rata-ratanya sama cuma terdapat sedikit perbezaan dengan buah-buahan versi Malaysia. Sebagai contohnya buah Mata kucingnya bersaiz besar tetapi berisi nipis, isi jambu batunya berwarna merah jambu, rambutannya berbulu sedikit dan lain-lain lagi. Saya sempat merasa buah mempelam yang besar dan jambu air di sana, sungguh enak rasanya.

     Salah satu perkara yang agak berlainan dan pelik di sana adalah wayar elektrik di tepi-tepi jalan kelihatan berselirat dan banyak seolah-olah nampak macam tak teratur dan tak selamat. Palam dua pin untuk perlatan elektrik digunakan di sana. Jika terdapat pengecas atau plag peralatan elektrik dibawa dari Malaysia yang nak digunakan bolehlah dibelikan palam penukar tiga pin kepada dua pin.

     Benarlah ada orang berkata Vietnam merupakan salah satu syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia. Hal ini kerana memang terdapat banyak raut muka dan kulit yang sama dengan saya bila berjalan-jalan di bandar tersebut. Ada antara kami sempat berbalas senyuman sebagai tanda kerakyatan yang sama apabila memandang ke muka masing-masing. Kadang-kadang kami sempat menyapa dan berbual-bual antara satu sama lain. Mungkin juga perasaan mesra itu hadir bila mana kami menyedari bahawa kami tidak bersendirian di bumi asing tersebut. Saya pernah mendengar ada seorang rakyat Vietnam yang melaungkan dalam bahasa Inggeris perkataan yang bermaksud "Vietnam sekarang adalah kepunyaan orang Malaysia!". ini kerana mereka menyedari kebanjiran pelancong dari Malaysia ke negara mereka.

     Walaupun agak seronok berada di sana. Saya masih lagi mengenangkan waktu-waktu indah semasa saya berada di bumi Malaysia. Memang lebih banyak lagi nikmat kurniaan Allah kepada bumi Malaysia yang diperoleh antaranya nikmat bumi yang cantik, keamanan, kedamaian, kemudahan menunaikan solat di masjid, mendengar alunan azan, mendengar ceramah agama, nikmat memiliki kereta sendiri walaupun tidaklah besar dan lain-lain lagi.  Perkara-perkara sebegini membuatkan saya berfikir, menginsafi diri dan amat-amat bersyukur atas kurnianNya yang tidak terhingga kepada kita semua rakyat Malaysia. Oleh hal yang demikian, betullah bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri.